Top Ad 728x90

,

Belasungkawa Sultan Kedah

Belasungkawa Sultan Kedah



Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mangkat pada 11 September 2017 (Isnin) di usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 petang, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Almarhum baginda begitu disenangi oleh semua, kerana cukup dikenali dengan perwatakan baik, pertuturan lembut dan merendah diri yang menjadikan baginda kesayangan rakyat Kedah.

Almarhum baginda yang kembali menaungi negeri setelah bersemayam di takhta pemerintahan negara selama lima tahun pada 12 Dis 2016, melakar sejarah tersendiri apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Ketua Negara Malaysia, sebanyak dua kali.  

Pelantikan pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun hingga 20 Sept 1975. Tiga puluh enam tahun kemudian, Almarhum baginda dilantik pula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

Diputerakan pada 28 Nov 1927, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Almarhum baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titian Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Almarhum baginda melanjutkan pengajian di Wadham College, Oxford, London pada 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam sebelum kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian pada 1955.

Almarhum Sultan Abdul Halim  dilantik sebagai Raja Muda Kedah sewaktu di United Kingdom pada 6 Ogos 1949 dan menaiki takhta pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan ayahanda Almarhum baginda, Almarhum Sultan Badlishah dan ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959.

Almarhum baginda berkahwin dengan Almarhum Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan kemudian menikahi Sultanah Haminah Hamidun.

Perkahwinan Almarhum baginda dengan Tuanku Bahiyah dikurniakan tiga puteri, Tengku Soraya (1961) Almarhum Tengku Sarina (diputerikan pada 1961 dan mangkat pada 1991) dan Tengku Intan Safinaz (1967).

Berikutan kemangkatan Tuanku Bahiyah pada 27 Ogos 2003, Sultanah Haminah dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah pada 9 Jan 2004.

Kemangkatan Sultan Abdul Halim pastinya amat dirasai dan jasa Almarhum baginda  tetap dikenang dan disanjung tinggi oleh seluruh lapisan rakyat jelata.

Alfatihah.


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90